loading...
Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran :77
" Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak akan mendapatkan pahala di akhirat. Dah Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka, dan tidak akan melihat mereka pada hari kiamat, bahkan tidak akan menetapkan kesucian mereka dan mereka akan mendapat seksaan yang pedih"
Ayat ini turun sehubungan dengan dua orang lelaki yang bersengketa pada sebidang tanah dan mengadu kepada Nabi s.a.w. Menurut riwayat Abdullah bahawa ketika itu Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Barangsiapa yang bersumpah palsu untuk mengambil hak dari seseorang muslim, maka nantinya akan menemui Allah dalam keadaan mendapat kemurkaannya"
Menurut Abu Umamah katanya: Kami duduk bersama Nabi s.a.w, lalu beliau menyatakan:
"Barangsiapa yang mengambil hak seseorang Muslim dengan menggunakan sumpahnya, maka Allah mewajibkan baginya untuk memasuki neraka, dan diharamkan baginya memasuki syurga" (Hadis Riwayat Muslim)
Peranan Sumpah
Sumpah di dalam Islam ialah bagi memastikan kebenaran sesuatu yang masih diragukan benar atau sebaliknya dengan menyebut salah satu nama Allah atau salah satu sifatnya.
Menurut Perundangan Islam dalam perkara penghakiman dan pengadilan, bahawa orang yang mendakwa adalah dianggap dari pihak yang benar apabila pendakwa tadi dapat mengemukakan keterangan-keterangan yang lengkap yang berupa bukti yang memuaskan untuk menyokong dan menguatkan dakwaannya itu.
Pendakwa mesti membawa saksi
Dalam kes zina dan qazaf pendakwa hendaklah mengemukakan 4 orang saksi, manakala dalam kes mencuri misalnya cukup dengan 2 orang saksi sahaja.
Apabila orang yang mendakwa itu gagal mengemukakan bukti sebagai keterangan yang boleh menyokong dan menguatkan dakwaannya, maka orang yang didakwa itu adalah dianggap dari pihak orang yang benar dengan bersumpah.
Jika orang yang didakwa itu tidak mahu bersumpah, maka orang yang mendakwa adalah dianggap dari pihak yang benar dengan sumpahnya. Sumpah yang demikian dinamakan "Sumpah Rad" iaitu sumpah yang dikembalikan.
Dalil-dalil Hadis
Hadis-hadis Rasulullah s.a.w menjadi dalil dalam perkara di atas :
a. Hadis yang diriwayatkan dari Ibn Abbas (r.a) dari Nabi s.a.w telah bersabda:
"Andainya manusia itu diberi mengikut dakwaannya sahaja, nescaya mendakwalah mereka akan darah dan harta orang lain, tetapi sumpah itu adalah hak bagi orang yang kena dakwa"
( Hadis Riwayat Buhari dan Muslim)
b. Hadis yang diriwayat daripada Abdullah bin Umar(r.a) dari Nabi s.a.w telah bersabda:
"Keterangan (saksi) adalah hak atas orang yang mendakwa dan sumpah itu hak bagi orang yang di dakwa"
(Hadis riwayat Tirmizi)
c. Hadis riwayat Ibn Umar(r.a): Bahawasanya Nabi s.a.w telah membalikkan sumpah keatas orang yang meminta hak" (Hadis riwayat Daruqutni)
Bersumpah dalam mahkamah
Sumpah hendaklah dilakukan dalam mahkamah dengan perintah hakim. Bersumpah dalam mahkamah mempunyai peranan penting untuk menolak atau mensabitkan sesuatu dakwaan atau tuduhan seseorang keatas seseorang yang lain.
Peranan Sumpah
Bersumpah di mahkamah mempunyai faedah dan peranan sebagaimana berikut:
a. Untuk menolak dakwaan atau tuduhan yang dibuat oleh pendakwa atau penuduh terhadap orang yang didakwa atau orang yang dituduh.
b. Untuk menyatakan dan memastikan kebenaran diri seseorang.
c. Untuk memastikan dan menyakinkan seseorang bahawa segala apa yang dikatakan oleh pendakwa atau yang didakwa dalam mahkamah kesemuanya adala benar.
Sumpah biasa
Sumpah yang biasa ialah seperti seseorang bersumpah dengan katanya: "Wallahi aku bersumpah tidak makan pada hari ini". Maka jika dia telah melanggar sumpah tersebut dengan makan secara sengaja maka bermakna dia dikenakan kaffarah sumpah sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran Surah al-Maidah ayat 89:
"Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan ( untuk bersumpah), tetapi dia menghukum kamu disebabkan sumpah yang kamu sengajakan (dengan bersungguh-sungguh). Maka kaffarahnya ialah member makan sepuluh orang miskin iaitu daripada jenis makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberti pakaian kepada mereka, atau memerdekakan seorang hamba(yang beriman). Kemudian, sesiapa yang tidak dapat ( menunaikan kaffarah tersebut), maka ia hendaklah berpuasa tiga hari. Demikian iti adalah penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Peliharalah sumpah kamu (tidak melanggarnya). Demikian Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatnya (hkum-hukum agamanya) agar kamu bersyukur"
Kafarah Sumpah adalah seperti berikut:
1. Memberi makan 10 orang miskin dengan makanan yang mengeyangkan
2. Atau memberi pakaian yang selengkapnya kepada 10 orang miskin
3. Atau memerdekakan hamba (yang beriman)
4. Atau puasa 3 hari
Sumpah Laknat (Li'an )
Sumpah Laknat hanya terdapat dalam kes Li'an antara suami isteri iaitu apabila seorang suami menuduh isterinya berzina atau menafikan kandungan atau keturunan. Suami boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu 80 kali sebatan jika gagal mendatangkan empat orang saksi. Untuk menyelamatkan dari hukuman hudud ( kesalahan qazaf), maka suami hendaklah melakukan li'an manakala isteri juga hendaklah membalas dengan li'an jika mahu menyelamatkan diri dari hukuman hudud ( kesalahan zina ).
Dalil li'an
Dalil li'an adalah sebagaimana ayat 6-7 dari Surah An-Nur:
" Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesah tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian(yang sah pada syara') bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata) bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia daripada orang-orang yang berdusta"
" Sahal bin Saad r.a berkata: Seorang lelaki Ansar dating berjumpa rasulullah s.a.w dan berkata : Wahai Rasulullah! Apakah pendapat kamu jika seorang lelaki mendapati isterinya berdua-duaan bersama-sama lelaki lain, adakah dia boleh membunuhnya atau apakah yang perlu dilakukan? Selepas itu Allah menurunkan ayat al-Quran mengenai perkara tersebut(ayat li'an). Sabda rasulullah s.a.w: Allah telah menjelaskan hukumnya terhadap masaalah kamu dengan isterimu. Sahal berkata lagi: Kedua-dua pasangan tersebut telah melakukan li'an di masjid dan aku menyaksikannya"
Lafaz li'an
Contoh lafaz li'an bagi isteri:
"Aku naik saksi demi Allah, si fulan berbohong dalam tuduhannya yang menyatakan aku berzina" (Hendaklah diulang sebanyak 4 kali) dan kali kelima disebutkan : "Kemurkaan Allah menimpaku sekiranya dia berkata benar"
Syarat-syarat li'an
Untuk menjadikan li'an itu sah mesti mengambil kira syarat-syarat berikut:
1. Qazaf ( suami menuduh isterinya berzina ) berlaku lebih dahulu daripada li'an.
2. Li'an suami mendahului li'an isteri.
3. Kedua-dua suami isteri mesti menyebut perkataan atau lafaz li'an yang telah ditetapkan
4. Kelima-lima lafaz li'an hendaklah dilafazkan secara berturut-turut
5. Hakim wajib member nasihat kepada kedua-duanya supaya bertaubat kerana salah-seorang daripadanya adalah benar dan seorang lagi berbohong.
Hukum-hakam hasil li'an suami isteri
Apabila suami meli'an isterinya, maka terhasil lima hokum:
1. Suami tidak dikenakan hukuman hudud kesalahan qazaf
2. Isteri wajib dikenakan hukuman hudud kesalahan zina kecuali dia juga melakukan li'an.
3. Hukuman perkahwinan antara mereka terbatal
4. Ternafi anak dan kandungan dan tidak boleh dinasabkan kepadanya
5. Mereka diharamkan berkahwin selama-lamanya
Sumber: JAIS
loading...
0 Response to "Laknat Allah Kepada Sumpah Palsu"
Post a Comment